Pasukan Sabah mengumumkan pelantikan Lucas Kalang Laeng sebagai ketua jurulatih baharu bagi menghadapi kempen Liga Malaysia 2021.
Jurulatih berusia 66 tahun itu menggantikan Kurniawan Dwi Yulianto, meskipun jurulatih yang berasal dari Indonesia itu berjaya menyelamatkan Sabah dari tersingkir ke Liga Premier.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Datuk Verdon Bahanda berkata, pemilihan Lucas adalah berdasarkan kelebihan yang dimiliki jurulatih kelahiran Sarawak itu.
“Beliau memiliki lesen kejurulatihan Pro A dan jurulatih tersebut juga mempunyai kepakaran dalam bidang sains sukan,” katanya dalam kenyataan.
Verdon berkata Sabah FC mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada bekas ketua jurulatihnya Kurniawan Dwi Yulianto dan bekas jurulatih kecergasan Sofie Imam Faizal selepas kontrak mereka tidak disambung musim depan.
Lucas yang menandatangani kontrak selama setahun bersama Sabah pernah membimbing pasukan Sarawak pada musim 2019 dan antara sembilan jurulatih dari pasukan menyertai Kursus Kejurulatihan Diploma Profesional AFC 2019-2020 modul keempat yang diadakan pada 1 hingga 14 Okt tahun lepas.