Luar Negara Berita

Safawi Rasid terpaksa duduk di hotel kerana makanan, kemudahan

Selepas dua bulan bersama kelab Portimonense, Safawi Rasid mengakui terpaksa menginap di hotel di Portimao yang terletak di selatan Portugal.

Pemain berusia 23 tahun itu mempunyai pilihan untuk tinggal di pangsapuri di tepi pantai, namun beliau menganggap hotel mempunyai kemudahan yang diperlukan sebagai seorang pemain bola sepak.

“Saya pilih duduk hotel kerana mudah untuk makan, gimnasium dan rasa lebih selamat,” katanya kepada Utusan.

“Penyokong di sini pun boleh tahan fanatik.

“Dari hotel untuk ke tempat latihan lima minit dan bandar di sini seperti pekan di Terengganu. Sukar juga nak cari makanan di sini sebenarnya.”

Safawi juga mendedahkan bahawa kes COVID-19 di Portugal jauh lebih banyak di Malaysia, namun sukan bola sepak tetap diteruskan seperti biasa.

“Kes di sini lebih kurang 5,000 ke 6,000 sehari di bandar utama tapi perlawanan bola sepak tetap dijalankan.”

Safawi mempunyai peluang untuk diturunkan apabila Portimonense berdepan kelab divisyen ke-3, UD Leiria dalam saingan Piala Portugal, pukul 5 pagi esok.