Liga Super Malaysia Berita

Terengganu tidak sambung kontrak, Dominique Da Sylva tetap mahu kekal di Malaysia

Dominique Da Sylva mengesahkan beliau sudah meninggalkan Terengganu, selepas pasukan Pantai Timur itu tidak menawarkan kontrak baharu.

Ini meskipun penyerang yang berasal dari Mauritania berusia 31 tahun itu telah menjaringkan 9 gol dalam saingan Liga Super musim ini.

Bagaimanapun mahu terus kekal beraksi dalam Liga Malaysia bagi musim 2021, walaupun sudah mendapat tawaran daripada pasukan di luar negara.

“Saya sudah serasi dengan corak permainan dalam Liga Malaysia,” katanya kepada Harian Metro.

“Saya tidak tolak kemungkinan untuk kekal bermain di Malaysia kerana secara peribadi saya suka tinggal di negara ini.

“Jika tidak kerana wabak pandemik Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia, mungkin ceritanya berbeza bersama Terengganu.

“Tapi buat masa ini saya belum membuat keputusan sama ada bakal beraksi dengan pasukan di Malaysia ataupun di tempat lain.”

Dominique mengucapkan selamat tinggal kepada para penyokong Terengganu menerusi akaun Instagram miliknya.

“Tahun 2020 penuh dengan peristiwa yang saya tidak jangkakan dalam hidup, begitu juga dengan pengakhiran yang indah saya dengan pasukan Terengganu.

“Dengan penuh kesedihan, saya ucapkan selamat tinggal kepada keluarga baharu TFC dan juga para penyokong Terengganu yang sangat hebat, saya pernah bermain di beberapa negara lain seperti Mesir, namun di Terengganu para penyokongnya begitu hebat, saya begitu bangga walaupun sekarang wabak pandemik Covid-19 membataskan kehadiran mereka ke stadium.

“Buat jurulatih Nafuzi Zain dan ketua saya, Joe, tanpa mereka tidak mungkin saya dapat pengalaman bermain di Malaysia dan nombor 3 adalah nombor bertuah saya kerana pasukan mengakhiri liga di tempat ketiga terbaik, pasukan ini juga antara tiga skuad terbaik yang pernah saya beraksi dan juga berada di kedudukan ketiga terbaik senarai penjaring gol dalam Liga Malaysia.”