Liga Super Malaysia Berita

Shahrel Fikri sayangkan Perak, belum buat keputusan untuk berhijrah

Shahrel Fikri Md Fauzi mengakui beliau masih sayangkan Perak, meskipun menerima tawaran daripada beberapa pasukan Liga Super lain.

Pemain berusia 26 tahun itu ketika ini dikaitkan dengan perpindahan ke Selangor, namun Shahrel masih belum membuat keputusan memandangkan kontraknya bersama Perak hanya tamat pada 31 Dis ini.

“Tipulah kalau kata tidak sayang Perak,” katanya kepada Bernama.

“Dua tahun beraksi bersama pasukan dan rakan-rakan. Memang banyaklah kenangan manis sepanjang tempoh itu.”

Shahrel juga mendedahkan pihak pengurusan Perak telah mengadakan pertemuan dengannya bulan lepas, namun beliau enggan mengulas lanjut.

Jika beliau berhijrah ke Selangor, ia akan menjadi satu cabaran buat Shahrel kerana beliau perlu bersaing dengan penjaring terbanyak Liga Super musim 2020, Ifedayo Olusegun.

Namun, dari sisi positif, beliau dapat belajar banyak dibawah kepimpinan jurulatih baharu Selangor, Karsten Neitzel.

Shahrel mula bersama dengan Perak pada 2019 secara pinjaman dari PKNP FC, sebelum menyertai secara rasmi pada awal tahun ini dan menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila menjaringkan 10 gol dalam saingan Liga Super 2020.