
Presiden Kedah FA, Sanusi Md Nor mendakwa terdapat manipulasi terhadap penyata gaji pemain yang dilakukan pengurusan terdahulu sehingga menyebabkan mereka menanggung hutang hampir RM5 juta.
Katanya, pengurusan terdahulu dipercayai membuat dua penyata gaji pemain yang lebih rendah dan diserahkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Sedangkan penyata gaji sebenar yang diberi kepada pemain menyatakan terdapat potongan LHDN dan caruman KWSP dibayar majikan kepada dua pihak terbabit.
“Bagaimanapun, KFA pada waktu itu didapati gagal membayar potongan itu selepas pemain pergi ke pejabat LHDN dan KWSP yang menunjukkan penyata sebenar yang terdapat potongan dibuat,” katanya kepada Sinar Harian.
Justeru, Sanusi berkata salah laku penyata gaji itu sudah dilaporkan kepada LHDN dan KWSP dan tindakan undang-undang boleh diambil ke atas mereka yang terbabit dalam pengurusan lama.
“LHDN dan KWSP ada undang-undang sendiri dan boleh ambil tindakan ke atas orang yang bertanggungjawab dan jadi majikan pada masa itu.
“Akibatnya KFA kini berhutang dan terpaksa bayar hampir RM5 juta kepada LHDN dan KWSP.”