Liga Super Malaysia Berita

Karsten Neitzel mulakan era baharu bola sepak Selangor

Selangor akhirnya menamatkan spekulasi apabila mengumumkan pelantikan Karsten Neitzel sebagai ketua jurulatih baharu pasukan Gergasi Merah bermula saingan Liga Malaysia musim 2021.

Beliau mengisi kekosongan yang ditinggalkan B.Sathiananthan yang dipecat setelah Selangor tewas 6-1 kepada JDT pada September yang lalu.

Menurut laman sesawang rasmi Selangor, jurulatih dari Jerman yang berusia 52 tahun itu telah selamat tiba di Malaysia pada pertengahan bulan Oktober dan selesai menjalani proses kuarantin yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada awal minggu lalu.

Pengarah Teknikal Selangor, Michael Feichtenbeiner menganggap Karsten mempunyai pengalaman dan keupayaan untuk mengendalikan pasukan seperti Selangor.

“Saya cukup mengenali Karsten kerana beliau merupakan bekas pemain saya. Beliau pernah bermain sebagai pemain tengah dan bermain untuk pasukan saya di divisyen kedua Jerman sebelum beraksi di Bundesliga. Karsten merupakan pemain yang hebat.

“Jadi, adalah cukup bagus jika kami dan saya selaku Pengarah Teknikal untuk melantik seseorang yang saya kenal sebagai ketua jurulatih.

“Beliau mempunyai sikap yang bagus, beliau bekerja keras dan mahu membuktikan kemampuannya di Asia. Jadi, saya fikir beliau akan cukup bermotivasi untuk menguruskan pasukan Selangor di Malaysia.”

Feichtenbeiner juga mendedahkan Karsten seorang jurulatih yang gemar mengetengahkan pemain-pemain muda.

“Ia adalah keutamaan kami untuk melahirkan pemain kita sendiri untuk bermain di Liga Super. Jadi, kita memerlukan ketua jurulatih yang bersifat terbuka untuk menggunakan pemain muda. Kadang-kala, ia sukar untuk seorang jurulatih mempercayai pemain muda kerana mereka cenderung untuk melakukan kesilapan, tetapi Karsten adalah jurulatih yang berani. Jika beliau dapat melihat kualiti dan kemampuan seseorang pemain muda, beliau akan memberikan mereka peluang.”

“Kita ingin membina pasukan terbaik di Malaysia, dan kita perlu melakukannya dengan cara kita yang tersendiri. Kita mungkin tidak dapat menarik minat pemain terbaik untuk bermain untuk Selangor, tetapi kita boleh cuba untuk mencipta sebuah pasukan terbaik melalui gaya permainan dan program pembangunan kita.”

Bercakap pertama kali sebagai jurulatih Selangor, Karsten mendedahkan perancangannya untuk pasukan baharu untuk saingan liga musim depan.

“Sejak beberapa minggu lalu, pasukan ini telah memberikan bayangan yang sangat bagus.

“Saya mempunyai keyakinan (dengan pasukan utama). Saya telah menonton banyak perlawanan pasukan ini dan saya fikir kita mempunyai pasukan yang mempunyai kualiti yang baik.”

Karsten juga mengakui sempat menyaksikan prestasi beberapa pemain muda Selangor 2, dan mendedahkan beberapa nama yang diminati beliau.

“Saya juga sempat menonton beberapa pasukan Selangor 2. Mereka mempunyai potensi yang bagus. Contohnya Aliff (Haiqal), (Ahmad) Zikri, Afro (Nazeem) dan (Ahmad) Danial sebagai penyerang. Mereka merupakan pemain yang bagus, tetapi saya tidak mahu memberikan mereka tekanan. Saya akan terus menyokong pemain-pemain muda seperti mana saya menyokong pemain senior mereka.”

Beliau juga tidak sabar untuk bertemu dengan penyokong Selangor.

“Seperti penyokong, saya juga dahagakan kejayaan. Saya mahu memenangi setiap perlawanan bersama pasukan, staf dan penyokong. Namun, kita perlu melakukannya langkah demi langkah. Kita perlu memperbaiki cara kita bermain, kita perlu untuk menambah baik perkara-perkara kecil, kerana perkara-perkara kecil ini akan memberikan perubahan yang besar.”

“Para penyokong perlu tahu apa yang kami sedang lakukan dan perlu faham idea kami. Mereka perlu mempunyai perasaan yang kami tahu mereka akan sentiasa berada di belakang kami dan saya fikir ini adalah hubungan yang baik antara pasukan, kelab dan juga penyokong.”