Piala Malaysia Berita

Adakan Piala Malaysia di Pahang? Kerajaan negeri teliti permohonan

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengesahkan pihaknya telah menerima permohonan daripada MFL berhubung penganjuran Piala Malaysia bagi musim 2020.

Ini selepas MFL mengemukakan cadangan untuk menghabiskan tujuh perlawanan Piala Malaysia di Kota Bharu, Kelantan dan Kuantan, Pahang.

Rayuan itu turut disokong lapan pasukan yang layak ke suku akhir.

Bagaimanapun, kata Wan Rosdy, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Pahang, Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM) dan agensi berkaitan sebelum membuat sebarang keputusan.

“Ya, memang kita ada menerima permohonan itu,” katanya kepada Sinar.

“Namun ia akan diperhalusi melalui perbincangan dengan pihak berkaitan sebelum membuat sebarang keputusan.

“Keputusan hasil perbincangan ini nanti akan dimaklumkan dalam masa terdekat.”