Ketua jurulatih KV Kortrijk, Yves Vanderhaeghe mengakui Luqman Hakim Shamsudin merupakan seorang pemain muda yang berbakat.
Namun, beliau menganggap Luqman perlu segera menyesuaikan diri dengan tempo dan corak permainan bola sepak di Eropah.
“Luqman mempunyai bakat luar biasa,” kata Vanderhaeghe.
“Kami perlu bentuknya untuk menjadi pemain terbaik dan melatihnya supaya dapat beraksi mengikut tempo sebenar.
“Saya percaya tempo permainan Eropah lebih mencabar daripada di Malaysia. Kami sedang menyiapkannya untuk beraksi mengikut tempo sebenar Eropah.”
Beliau berkata demikian dalam dokumentari pendek The Journey Of Luqie khusus mengenai kisah Luqman yang dimuatnaik oleh akaun media sosial rasmi KV Kortrijk.
Dalam pada itu, Luqman menganggap Vanderhaeghe banyak membantu menaikkan semangatnya ketika berdepan dengan saingan bola sepak Eropah yang cukup mencabar.
“Jurulatih cakap saya perlu lakukan terbaik dan beri segala-galanya yang saya ada.
“Dia beri saya peluang bermain dan beliau amat percaya kepada saya. Permainan di Eropah memang berbeza dan lebih mencabar, namun saya takkan berputus asa dan perlu yakin pada diri sendiri serta beri yang terbaik.”
KV Kortrijk akan berkelana ke pasukan tempat ke-16 dalam Jupiler Pro League, Zulte Waregem pada 3 Nov ini.