Liga Super Malaysia Berita

Pahang mahu gantung saya? Ini kelakar – Sumareh

Mohamadou Sumareh menunjukkan reaksi yang boleh dijangka apabila beliau dijatuhkan hukuman gantung dua tahun oleh…bukan FIFA, tetapi Pahang FA.

Ini selepas Jawatankuasa Tatatertib PBNP mengenakan hukuman gantung dua tahun ke atas Sumareh daripada sebarang aktiviti bola sepak atas kesalahan melanggar kontrak.

“Ini perkara yang melucukan,” katanya kepada Harian Metro.

“Siapa yang mengenakan penggantungan kepada saya? PBNP? Bagaimana mereka boleh menggantung pemain yang membatalkan kontrak dengan mereka. Ini satu perkara yang kelakar.

“Saya tidak mahu komen lebih lanjut berkaitan hukuman terbabit kerana saya tidak dimaklumkan mengenai perkara berkenaan dan tiada siapa yang memberitahu mengenainya.

“Sekarang ini saya mahu fokus kepada latihan supaya disenaraikan dalam kesebelasan utama untuk perlawanan akan datang.”

Sumareh juga mengakui beliau diminta untuk hadir mendengar kes tersebut, namun sudah tentu tidak boleh berbuat demikian kerana beliau kini bersama dengan kelabnya Police Tero di Thailand.

“Saya memberikannya kepada peguam dan meminta mereka berhubung dengan peguam saya. PBNP tahu saya berada di Thailand tetapi meminta saya hadir untuk mengadakan pertemuan.

“Bagaimana saya mahu hadir kerana saya sudah berada di sini. Mengapa mereka yang berbincang dengan saya kerana apa sahaja urusan, mereka perlu berhubung dengan peguam saya.”