Luqman Hakim Shamsudin tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya apabila tersenarai dalam skuad utama KV Kortrijk untuk berdepan dengan Anderlecht dalam saingan Jupiler Pro League.
Malah, pemain berusia 18 tahun itu bertambah teruja apabila ketua jurulatih Yves Vanderhaeghe menggunakan khidmatnya sebagai pemain gantian pada minit ke-74 bagi mengubah corak permainan pasukannya yang ketika itu sedang ketinggalan 3-0.
“Memang rasa teruja dapat main pertama kali dengan kelab ini dan saya amat menghargai minit permainan ini,” kata Luqman kepada The Star.
“Saya gembira dan bangga dapat main dalam liga utama. Perlawanan ini bagi saya keyakinan.
Kemasukan Luqman di separuh masa kedua memberikan nafas baharu buat KV Kortrijk apabila pemain muda itu sering membuat larian pantas di sebelah kanan sayap pasukan sehingga berjaya menembusi pertahanan lawan dan mencipta peluang untuk pasukan.
Hasilnya, KV Kortrijk berjaya mendapatkan gol saguhati apabila Julien De Sart dijatuhkan dalam kotak penalti hasil hantaran Luqman di sebelah sayap kanan.
Bagaimanapun, Luqman enggan hanyut dengan pujian, sebaliknya mahu terus berusaha untuk mendapatkan lebih banyak peluang beraksi dalam kesebelasan utama pasukan.
“Saya harap dapat main lebih banyak perlawanan, saya tahu saya kena kerja keras dan buktikan kepada jurulatih yang saya layak bermain.
“Peluang tidak datang begitu sahaja dan saya akan berusaha untuk mendapatkannya.
“Ini peluang terbaik yang saya pernah dapat. 16 minit ini cukup berharga dan ia adalah pengalaman yang berbeza kalau nak dibandingkan di Malaysia.”