Luar Negara Berita

Luqman Hakim tersenarai dalam skuad utama KV Kortrijk

Buat pertama kalinya, Luqman Hakim Shamsudin terpilih dalam skuad utama KV Kortrijk untuk saingan Jupiler Pro League minggu ini.

Beliau akan berada dalam pasukan KV Kortrijk yang akan berdepan Anderlecht dibawah kendalian Vincent Kompany pada 2.45 pagi, Sabtu ini.

Perkara itu disahkan oleh duta Belgium di Malaysia, Pascal H Gregoire.

Sejak menyertai pasukan itu pada bulan Sept lalu, Luqman banyak menghabiskan masa berlatih bersama skuad B-21 dan berjaya menjaringkan satu gol dalam perlawanan liga B-21.

Tidak dapat dipastikan mengapa ketua jurulatih KV Kortrijk, Yves Vanderhaeghe memilih Luqman tetapi mungkin pasukannya berdepan dengan masalah kecederaan.

Setakat ini, penjaring terbanyak KV Kortrijk adalah Ilombe Mboyo yang sudah menjaringkan sebanyak 4 gol dalam 9 perlawanan.

KV Kortrijk berada di tangga ke-8 liga dan berkongsi 14 mata dengan Anderlecht.