Luar Negara Berita

Tan Cheng Hoe: Safawi hanya perlu 3 ke 6 bulan untuk menyinar di Eropah

Ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe yakin peminat tidak perlu menunggu terlalu lama untuk melihat Safawi Rasid menyerlah di Eropah, walaupun menghadapi cabaran yang amat berbeza berbanding dengan bola sepak di Malaysia.

Pemain JDT berusia 23 tahun itu dipinjamkan ke kelab Portugal, Portimonense SC dan diberikan nombor jersi 29, dengan dilaporkan menerima gaji sebanyak RM75,000 hingga RM120,000.

Beliau dipinjamkan selama semusim, dengan Portimonense mempunyai pilihan untuk menandatangani Safawi secara rasmi jika menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

“Susah untuk saya katakan sama ada Safawi boleh menyerlah lebih awal atau lambat kerana masalah ini turut dihadapi bintang dunia lain,” katanya kepada Utusan.

“Jadi ia sesuatu yang sukar dijangka kerana bergantung kepada pemain sendiri. Tetapi secara peribadi saya rasa dia hanya perlu masa tiga bulan atau lebih cepat daripada itu untuk menyesuaikan diri di sana, mungkin juga paling lambat enam bulan.

“Di EPL sendiri ada beberapa pemain perlukan masa setahun hingga dua tahun untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan, cuaca, budaya dan banyak faktor lain lagi. Apa yang penting kemahuan diri dan saya lihat Safawi ada ciri-ciri untuk berjaya di Eropah.

“Banyak faktor baharu dia perlu menyesuaikan diri di sana tetapi saya percaya Safawi mampu mengatasinya kerana dia seorang pemain yang berjiwa besar.”

Cheng Hoe juga berpandangan Safawi perlu mencabar dirinya jika ingin berjaya di Eropah.

“Bukan saya mahu beri tekanan tetapi lebih kepada satu cabaran untuknya.

“Kalau dia boleh mencipta nama dan menyerlah di sana, sudah pasti kelab-kelab Eropah akan mula membuka mata untuk melihat potensi yang dimiliki pemain Malaysia.

“Dengan ini, lebih ramai pemain kita mampu mengikuti jejak langkah Safawi. Ianya satu perkembangan positif buat bola sepak negara kita.”