Pasukan-pasukan Liga Malaysia melibatkan Kuala Lumpur, UiTM FC, Selangor dan PJ City FC dilaporkan tidak dapat mengadakan sesi latihan ekoran pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hingga 27 Oktober ini.
CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata pihaknya ambil maklum mengenai perkara tersebut dan akan membuat permohonan kepada kerajaan supaya memberikan kebenaran khas kepada empat pasukan yang terkesan.
Ini kerana KL dijadualkan bertemu Kuching di Cheras dalam saingan Liga Premier pada 31 Okt manakala UiTM FC bakal berdepan Sabah dalam saingan CIMB Liga Super di Stadium UiTM, Shah Alam, juga pada 31 Okt ini.
Selangor dan PJ City pula mahu membuat persiapan menjelang Piala Malaysia yang akan berlangsung pada awal bulan Nov.
“Kita di MFL sentiasa peka terhadap perkara-perkara seperti ini,” kata Ghani kepada Sinar Harian.
“Kita akan berusaha agar kesemua pasukan-pasukan ini diberikan kebenaran untuk berlatih sama seperti ketika kita adakan latihan Fasa 1 dan Fasa 2 sebelum ini.
“Selain itu, latihan berkenaan juga mungkin boleh diadakan di lokasi yang tertutup serta dilengkapi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang diluluskan seperti ketika Fasa 1 dan Fasa 2.
“Apa pun, sebarang keputusan adalah daripada pihak yang berkenaan kerana perkara ini sememangnya di luar bidang kuasa MFL.”
Ghani juga menganggap pasukan Liga Malaysia wajar diberikan kebenaran untuk mengadakan sesi latihan memandangkan semua pasukan mematuhi SOP yang ditetapkan sepanjang saingan liga berlangsung pada bulan lepas.
“Ini khususnya dari segi pematuhan terhadap SOP yang dikemukakan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagaimana yang dilakukan pada sesi latihan Fasa 1 dan Fasa 2 sebelum ini.
“Saya mengharapkan pertimbangan diberikan kepada pasukan-pasukan Liga Malaysia kita dan kita akan usulkan kepada pihak yang berkenaan.”