Liga Super Malaysia Berita

Shahrel Fikri akui dapat tawaran pasukan lain

Shahrel Fikri Md Fauzi akui menerima tawaran daripada beberapa pasukan termasuk dari luar negara.

Ini selepas penyerang Perak berusia 25 tahun itu mempamerkan prestasi cemerlang apabila menjaringkan 10 gol dalam saingan Liga Super musim ini.

Antaranya sebuah pasukan berpangkalan di Lembah Klang, pasukan Liga Premier dan sebuah pasukan Liga Super India (ISL).

Shahrel bagaimanapun masih belum membuat keputusan mengenai statusnya dan hanya menumpukan kepada saingan Piala Malaysia yang akan berlangsung pada awal bulan Nov.

“Saya nak fokus habiskan Piala Malaysia dahulu ketika ini,” katanya kepada Bernama.

“Soal pasukan yang berminat memang ada beberapa pasukan tempatan dan juga luar negara tetapi saya awal-awal bagi tahu saya tak minat ke sana (India).”

Kehadiran beberapa tawaran juga adalah disebabkan kontrak Shahrel bakal tamat pada 31 Dis ini.

Shahrel juga akui beliau masih berunding dengan Perak, namun akan mempertimbangkan segala tawaran yang diterimanya.

“Ikutkan kontrak, ini musim terakhir saya bersama Perak dan memang pasukan ada berbincang mengenai masa depan tetapi masih tiada keputusan dibuat. Saya pun perlu mempertimbangkan tawaran diterima.”

Shahrel mula dikenali ramai ketika beraksi dengan PKNP FC pada 2017 dan meraih Anugerah Penyerang Terbaik pada musim tersebut.

Beliau menyertai kelab Thailand, Nakhon Ratchasima secara pinjaman pada 2018, sebelum menyertai Perak pada 2019.