Liga Super Malaysia Berita

Hanya tinggal 7 kes tunggakan gaji melibatkan pasukan Liga Malaysia

FAM mendedahkan jumlah terkini kes tunggakan gaji melibatkan pasukan Liga Malaysia hanya tinggal sebanyak 7 kes setakat ini.

Pengerusi FIB Pelesenan Kelab FAM, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata bilangan kes tunggakan gaji dapat dikurangkan setelah FAM mewajibkan semua pasukan menghantar Surat Akuan Berkanun atau Statutory Declaration (SD) bermula pada hujung tahun lalu.

“Ia menunjukkan impak positif dalam proses pelesenan kelab ini terutama bagi memastikan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai serta KWSP, LHDN dan Perkeso dapat diselesaikan atau sekurang-kurangnya tidak berlarutan untuk satu tempoh yang panjang.

“Ini kerana, tunggakan yang diambil kira untuk permohonan lesen kelab bagi setiap tahun kitaran hanya setakat 30 Jun pada tahun tersebut, sekali gus SD yang perlu dibuat pada penghujung tahun adalah supaya FAM dapat memantau serta memperoleh maklumat jika terdapat tunggakan yang berlaku di antara tempoh Julai hingga November (iaitu sampai selesai musim) setiap tahun.”

Sebanyak 65 kes tunggakan gaji dan pampasan yang dihadapi pemain dan pegawai pada musim 2019 dan 2020 iaitu berjumlah RM8,694,100.32.

Namun setakat 30 September 2020, jumlah kes tunggakan bayaran yang berjaya diselesaikan ialah sebanyak 58 kes dengan jumlah RM 8,129,160.59.

Melalui langkah mewajibkan pengisytiharan SD pada tahun 2019 pula telah berjaya menyelesaikan sebanyak 297 kes tunggakan pembayaran kepada pemain dan pegawai dengan jumlah RM912,717.08.

“Justeru, perkara yang sama akan diteruskan untuk tahun kedua pada 2020 ini yang mana setiap pasukan perlu menghantar SD masing-masing kepada FAM selewat-lewatnya pada 15 Disember 2020,” kata Sheikh Nasir.

“Ini bagi mengisytiharkan jika mereka mempunyai tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi pasukan utama, Piala Presiden dan Piala Belia sehingga 30 November 2020 serta lain-lain tunggakan membabitkan KWSP, LHDN dan Perkeso, dan juga pelan untuk melunaskan hutang-hutang tersebut.

“Ia juga bagi memastikan tiada sebarang tunggakan dari 2020 yang akan dibawa ke musim 2021.”