Liga Super Malaysia Berita

FAM bingung jurulatih UKM FC adalah pengarah syarikat pasukan

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam meluahkan rasa hairan apabila mendapati ketua jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin turut tersenarai sebagai pengarah syarikat pasukan itu, Varsity Boys Sdn Bhd.

Disebabkan keanehan tersebut, FAM meminta UKM FC memberikan penjelasan terhadap perkara tersebut.

“FAM menerusi Jawatankuasa Task Force Pelesenan Kelab Profesional meminta mereka menyediakan dokumen berkaitan terutama berkaitan aspek kewangan,” katanya kepada Harian Metro.

“Meletakkan seorang jurulatih sebagai pengarah syarikat turut menimbulkan keraguan berkaitan kemampuan terutama membabitkan kewangan.”

Stuart berkata, UKM FC diberi tempoh dua minggu dan jika gagal berbuat demikian kemungkinan akan dikenakan tindakan.

UKM berada di tangga ke-10 Liga Premier setakat ini dengan hanya kelebihan satu mata di hadapan Perak II dan Sarawak United, namun MFL dan FAM sudah pun membuat keputusan bahawa tiada penyingkiran untuk liga divisyen kedua musim ini.