Liga Super Malaysia Berita

MFL minta Felda pertimbang keputusan tarik diri

Keputusan Felda United untuk menarik diri daripada saingan Liga Super bermula musim depan tidak mendapat sokongan daripada MFL.

Sebaliknya, CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan meminta pengurusan tertinggi Felda mempertimbangkan keputusan tersebut.

Ghani menganggap keputusan itu dilakukan dengan agak tergesa-gesa, malah MFL masih belum mendapat sebarang surat rasmi berhubung penarikan diri Felda.

“Felda adalah satu pasukan yang berdaya saing,” katanya kepada Harian Metro.

“Agak merugikan jika mereka menarik diri daripada liga. MFL akan mengambil langkah seterusnya dengan mengambil langkah tertentu untuk mengisi kekosongan Felda jika mereka tetap dengan keputusan itu.”

Felda United mula bersaing dalam Liga Malaysia pada 2007, memenangi Liga Perdana pada 2010 dan 2018, muncul naib juara Piala FA 2014 dan pernah bersaing dalam Piala AFC pada 2017.

Felda juga menjadi pasukan pertama Malaysia yang memiliki stadium milik sepenuhnya pada 2016. Stadium Tun Abdul Razak juga merupakan satu-satunya stadium untuk sukan bolasepak sahaja, sebelum Stadium Sultan Ibrahim diperkenalkan pada awal tahun ini.

Semalam, Felda mengumumkan bahawa mereka telah melakukan pengambilalihan penuh pentadbiran dan pengurusan Kelab Bola Sepak Felda United dan anak syarikatnya, The Fighters Sdn Bhd bermula 1 September lalu seperti dipersetujui menerusi mesyuarat lembaga Felda.

Mesyuarat itu juga memutuskan bahawa penglibatan Felda United dalam saingan Liga Malaysia adalah setakat musim 2020 sahaja.

Jika Felda menarik diri daripada liga, kemungkinan akan ada satu pasukan baharu dibenarkan menyertai Liga Malaysia pada musim depan.

Pasukan itu juga kemungkinan dalam kalangan yang sudah menyelesaikan proses penswastaan kelab.