Liga Premier Malaysia Berita

Kelantan FC lulus penswastaan kelab, bukan lagi di bawah KAFA

Proses penswastaan dan pemisahan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kelantan FA) kepada Kelab Bola Sepak Kelantan (Kelantan FC) akhirnya telah diluluskan secara rasminya pada 30 Sept.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Husin Deraman mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima surat kelulusan daripada FAM.

“FAM melalui pasukan Petugas ‘Pro Football’ telah mengkaji proses penswastaan Kelantan FA, yang kini beraksi untuk saingan Piala Premier,” katanya kepada Bernama.

“Surat itu memaklumkan kepada Kelantan FA bahawa FAM meluluskan dan mengakui selesai proses penswastaan Kelantan FA ke Kelab Bola Sepak Kelantan, dan selepas ini akan menjadi Kelantan FC.”

Kelantan FC kini diuruskan sepenuhnya oleh syarikat Team Red Warriors (TRW) Sdn Bhd, yang diterajui oleh Norizam Tukiman selaku pemilik dan pemegang saham terbesar.

Norizam berterima kasih kepada barisan pengurusannya yang telah bekerja keras bagi memastikan pasukan Kelantan melalui proses penswastaan yang lancar.

“Terima kasih kepada pasukan saya, rakan kongsi, kakitangan, ahli keluarga, penyokong yang bekerja dan memberi sokongan, untuk mengembalikan kegemilangan pasukan bola sepak Kelantan.

“KAFA turut membantu kami untuk menyelesaikan urusan ini yang menjadi perkara penting…ada mereka yang sanggup berkorban kerja 24 jam buat kerja sampai pagi, bagi memastikan setiap urusan berjalan lancar.”