Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman mendedahkan secara terperinci mengenai pembinaan pusat latihan pasukannya.
Ini selepas beliau menyatakan hasrat untuk membina pusat latihan setanding JDT beberapa minggu lalu.
Menurut laporan Bernama, Norizam dibawah TRW FC Sdn Bhd memperuntukan antara RM5 hingga RM10 juta untuk membina pusat latihan lengkap pada musim akan datang.
Norizam berkata, pihaknya telah mengenal pasti lima lokasi yang sesuai untuk dijadikan pusat latihan pasukan, tiga lokasi di Kota Bharu dan dua lokasi di luar bandar.
Pusat latihan itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi keselesaan pemain.
“Antara kemudahannya ialah bilik mandi, dewan makan dan bilik rehat selain padang yang setaraf dengan keperluan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA),” katanya.
Norizam juga merancang untuk membina pusat latihan berbumbung supaya pemain dapat menjalani latihan pada waktu hujan dan akan memasang lampu limpah untuk memudahkan latihan pada waktu malam.
Walaupun musim 2020 masih belum berakhir, Kelantan sudah pun merangka siri latihan dengan pasukan bola sepak luar negara termasuk Jepun.
Katanya, perancangan besar-besaran itu perlu dilakukan untuk menjadikan Kelantan lebih berdaya sainga dan sekurang-kurangnya menduduki kedudukan lima terbaik untuk layak saingan Piala Malaysia musim depan.
“Ini penting kerana Kelantan pada masa ini masih ke belakang dalam persaingan merebut tempat teratas.
“Kita turut menyasarkan pasukan TRW FC akan menjadi kelab bola sepak pertama yang akan ke pasaran saham atau IPO (Tawaran Awam Permulaan) di Bursa Malaysia pada tahun 2025,” katanya.