Seluruh warga bola sepak dunia diajak menjadi ejen perubahan dan reformasi bagi membentuk masa depan dan hala tuju sukan itu yang bebas daripada rasuah, unsur perkauman dan nilai-nilai toksik.
FIFA mengajak negara anggotanya menolak semua bentuk diskriminasi kaum, rasuah dan gejala mengatur keputusan perlawanan serta penderaan kanak-kanak dalam memastikan generasi hari ini dan akan datang bermain bola sepak dalam persekitaran yang selamat.
Dalam ucapannya pada Kongres FIFA ke-70 yang diadakan secara maya, Presiden FIFA, Gianni Infantino menggesa delegasi dari 211 negara anggotanya agar tidak berpeluk tubuh tetapi sebaliknya mencari jalan memastikan bola sepak benar-benar bersifat global.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, menyifatkan ucapan dasar Infantino sebagai menepati sentimen negara anggota yang mahukan bola sepak tidak menjadi milik eksklusif sesetengah benua atau negara-negara tertentu.
Meletakkan sasaran hingga 2023 untuk menjadikan bola sepak bersifat global di setiap peringkat, FIFA akan memberi fokus kepada tadbir urus yang telus, pertandingan yang lebih adil serta pendidikan.
“Sebenarnya wabak COVID-19 membuka mata warga bola sepak dunia untuk bermuhasabah diri dan mencari jalan untuk menjadikannya sebagai satu industri yang telus yang menggalakkan nilai-nilai murni,” kata Hamidin.
“Infantino menekankan kesihatan sebagai agenda utama yang mengatasi kepentingan bola sepak tetapi pada masa yang sama mengajak semua negara anggotanya untuk mencari jalan agar bola sepak bersifat sejagat.”
Infantino memulakan kongres dengan sesi memperingati pengamal, pemain dan legenda bola sepak yang meninggal dunia sepanjang 2020, termasuk termasuk tiga dari Malaysia iaitu mendiang Vinayak P Pradhan iaitu Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Etika FIFA, bekas pengadil FIFA; Jaswant Singh Sran dan anggota skuad ke Sukan Olimpik 1972, V. Krishnasamy.
Kongres FIFA yang buat pertama kali diadakan secara maya ini asalnya dijadualkan diadakan di Addis Ababa, Ethiopia, pada Jun lalu tetapi ditangguhkan ekoran COVID-19.
Hamidin juga bersetuju dengan saranan Infantino agar dalam era globalisasi ini, keluarga bola sepak dunia memikirkan cara terbaik agar Piala Dunia dan semua pertandingan anjurannya bukan dikuasai kelompok pasukan negara atau kelab yang kecil sahaja.
“Jika hari ini hanya 10 pasukan dianggap mampu untuk menjulang Piala Dunia FIFA, kita harus memikirkan bagaimana nanti mencerahkan prospek untuk 50 negara mendapat peluang yang sama.
“Apakah jumlah pertandingan yang ada sekarang memadai, atau haruskah ia dikurangkan atau ditambah? Saya percaya gesaan Infantino ini hadir tepat pada waktunya di saat semua kejohanan antarabangsa ditunda gara-gara wabak COVID-19.” katanya.