
Pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Mohamadou Sumareh yang langsung tidak hadir ke sesi latihan sejak sebulan lalu.
Malah, Sumareh dikatakan mengemukakan seribu satu alasan terhadap ‘kehilangannya’ selama ini.
“Apa yang boleh saya simpulkan dia sudah tidak ada hati bersama pasukan,” katanya kepada Sinar Harian.
“Kami ada berhubung dengannya, tetapi macam saya katakan bila dia sudah tiada hati bersama Pahang, macam-macam alasan diberikan kepada kita.
Namun, Suffian mengakui ia mungkin ada kaitan dengan spekulasi perpindahan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
“Banyak spekulasi yang timbul ketika ini. Mungkin ada pasukan berminat berhubung secara peribadi dengannya. Bagi PBNP, kami tidak ada pengetahuan langsung mengenai perkara tersebut.
“Sumareh masih ada kontrak bersama Pahang yang akan berakhir pada 2022.”
Suffian juga menganggap Sumareh tidak bersikap profesional seperti yang diharapkan.
“Sudah tentu kami kecewa dengan apa yang dilakukan Sumareh. Dia sepatutnya menjadi seorang pemain yang kenang jasa, apatah lagi kami banyak membantunya untuk dapatkan kerakyatan dan sebagainya. Dia perlu ingat, kalau ikutkan dia ‘lahir’ di Pahang.
“Kalau nak keluar pun, kami bagi tapi datanglah berjumpa secara gentleman. Jangan buat tindakan tidak hadir ke sesi latihan dan sebagainya kerana nampak ia satu perbuatan tidak matang sebagai seorang pemain profesional. Betul dia boleh protes atas sebab tertentu tetapi ini bukan cara yang betul.
“Saya berharap pemain lain tidak ikut seperti apa yang dilakukan Sumareh ini kerana ia menampakkan sisi negatif untuk industri bola sepak negara kita.”
Isu Sumareh sudah pun dibawa ke peringkat tertinggi persatuan dan Sumareh bakal dikenakan tindakan disiplin atas perbuatannya itu.
“Buat masa sekarang saya tak boleh komen dari sudut tindakan. Cuma saya melihat dalam hal ini, hati Sumareh mungkin tidak lagi bersama Pahang.”