Eropah Berita

[VIDEO] Sevilla juara Europa League kali ke-6

Sevilla membuat kejutan apabila menewaskan Inter Milan 3-2 dalam perlawanan akhir piala Europa League di Stadium Cologne.

Inter mendahului perlawanan seawal minit ke-5 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Romelu Lukaku, setelah pemain Belgium itu dijatuhkan dalam kotak penalti.

Namun, Sevilla kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-12 apabila Luuk de Jong menanduk masuk bola hasil hantaran kapten pasukan Jesus Navas.

Sevilla juga mengambil kesempatan di atas kelemahan Inter dalam situasi bola mati apabila Luuk de Jong menjaringkan gol kedua, sekali lagi menerusi tandukan pada minit ke-33.

Bagaimanapun, Inter berjaya menyamakan kedudukan dua minit selepas itu menerusi tandukan pertahanan veteran Diego Godin hasil sepakan percuma Marcelo Brozovic.

Lukaku mempunyai peluang terbuka untuk menambah jaringan, namun gagal dalam pertembungan satu lawan satu apabila tendangannya berjaya dihalang oleh penjaga gol Sevilla, Bono.

Inter sekali lagi gagal beraksi dengan baik dalam situasi bola mati apabila sepakan percuma dari Ever Banega pada minit ke-74 ditanduk lemah oleh Diego Godin, menyebabkan bola itu disambut oleh pertahanan Sevilla, Diego Carlos.

Carlos kemudian melakukan tendangan basikal, dengan bola meluru ke arah Lukaku, namun penyerang itu gagal mengeluarkan bola itu, sebaliknya tertampan ke gawang sendiri.

Inter mempunyai peluang yang cukup banyak untuk menjaringkan gol penyamaan, termasuk peluang terbaik yang terhidang di depan mata Alexis Sanchez namun tendangannya berjaya dihalang di saat-saat akhir oleh pertahanan Sevilla, Jules Kounde.

Walaupun perlawanan dilanjutkan sehingga enam minit masa tambahan, kelab Itali itu terpaksa akur apabila tewas kepada Sevilla.

Ia satu kemenangan berharga buat Sevilla, menjadi pasukan pertama yang memenangi Europa League sebanyak enam kali.