Aksi bolasepak Liga Malaysia akhirnya kembali apabila Kelantan tampil garang menewaskan UKM FC 5-1 dalam saingan Liga Premier di Stadium Selayang petang tadi.
Hakimi Abdullah menjadi wira The Red Warriors apabila menjaringkan hatrik, malah pemain import Felix Chidi Odili turut cemerlang apabila menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua.
Kelantan mendahului perlawanan pada minit ke-19 menerusi jaringan pertama Hakimi, namun UKM menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Akanni Sunday pada minit ke-40, dan kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bagaimanapun, Kelantan dilihat seolah-olah satu pasukan yang cukup berlainan pada separuh masa kedua apabila menunjukkan kualiti penyudah yang tajam, dan menjadi perbezaan ketara antara kedua-dua pasukan.
Tidak sampai 10 minit permainan, Hakimi menjaringkan gol keduanya pada minit ke-51, menjadikan kedudukan 2-1.
Felix Chidi pula menjadikan kedudukan Kelantan lebih selesa apabila menambah dua lagi jaringan pada minit ke-65 dan 78.
Hakimi melengkapkan hatriknya pada minit ke-89, sekali gus meraih kemenangan yang dinanti-nantikan oleh peminat Kelantan.
Malah, ia mengubat kerinduan terhadap bolasepak Malaysia selepas lima bulan tidak beraksi ekoran penularan wabak COVID-19.