Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2020 ditunda tahun depan

Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) membuat keputusan secara rasmi untuk menunda Piala AFF Suzuki yang sepatutnya diadakan pada hujung tahun ini, dan akan diadakan pada tahun hadapan.

Presiden AFF, Khiev Sameth berkata keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Pasukan Petugas Piala Suzuki AFF mempertimbangkan beberapa faktor termasuk keselamatan dan kesihatan semua pihak, khususnya pemain, jurulatih, rakan kongsi, peminat dan orang ramai.

“Sejak bermulanya penularan COVID-19, AFF telah memantau panduan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Kementerian Kesihatan, agensi kerajaan, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

“Seperti yang anda sedia maklum, pandemik ini terus memberi cabaran yang sangat besar khususnya dari segi kesihatan, sosial dan ekonomi kepada kita semua. Keutamaan AFF adalah kesihatan dan keselamatan keluarga bola sepak kita dan mengurangkan kesan pandemik ini. Dengan risiko penularan COVID-19 yang semakin meningkat, AFF tidak boleh meneruskan Piala Suzuki AFF 2020.

“AFF akan terus bekerjasama erat dengan ahli gabungan dan rakan kongsi mereka untuk memantau situasi pandemik dan akan memberikan maklumat terkini mengenai tarikh dan perincian lain berkaitan edisi 2021.”

Piala AFF Suzuki 2020 dijadualkan berlangsung dari 23 November hingga 31 Disember.

Namun, penangguhan kejohanan itu memberi peluang kepada Tan Cheng Hoe untuk menumpukan sepenuhnya kepada misi skuad kebangsaan dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.