Liga Super Malaysia Berita

Aidil Sharin bimbang pemain Kedah terganggu dengan soal gaji

Jurulatih Kedah, Aidil Sharin menganggap pemainnya sudah menjalani sesi latihan dengan lancar sejak dibenarkan oleh kerajaan.

Namun, beliau mengakui bimbang soal tunggakan gaji mengganggu minda dan tumpuan pemainnya ketika ini, isu yang masih belum selesai sehingga ke hari ini.

“Secara jujurnya, saya berasa bimbang,” katanya kepada Astro Arena.

“Setiap hari, saya bertemu pemain-pemain di padang latihan. Kami tidak mahu soalan mengenai gaji dibangkitkan.

“Tapi setakat ini semua pemain bersikap baik dan profesional.”

Aidil bagaimanapun mengakui masih menunggu untuk bertemu dengan barisan pengurusan yang baharu.

“Kami perlu memainkan peranan dan menunggu peluang untuk bertemu pihak pengurusan.

“Semangat berpasukan serta perpaduan dalam kalangan pemain membantu saya dan pengurusan untuk bertahan dan kekal utuh.”