Liga Super Malaysia Berita

Penyokong-penyokong beri sebab penonton perlu dibenarkan di stadium

Pengerusi Kelab Penyokong Melaka United (KPMU), Mohd Fairuz Mohd Sirat memahami jika kerajaan tidak mahu terburu-buru untuk membenarkan penonton menyaksikan perlawanan Liga Malaysia.

Ini selepas Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican menyatakan belum ada mana-mana liga yang membenarkan kemasukan penonton.

Beliau bimbang akan wujud kluster sukan sehingga menghakis keyakinan kerajaan terhadap sektor sukan.

Namun, bagi penyokong seperti Fairuz, beliau menganggap masih ada kewajaran untuk membenarkan penonton hadir di stadium walaupun dalam bilangan yang kecil.

“Penyokong memainkan peranan penting membantu kemenangan atau menyebabkan kekalahan pasukan,” katanya kepada Berita Harian.

“Semangat pemain amat berbeza ketika mereka menerima sokongan dan sorakan di gelanggang sendiri atau lawan.

“Malah pemain ke-12 dilihat antara nadi terpenting buat kejayaan sesebuah pasukan di negara ini mahupun di pentas antarabangsa.

Ahli Kelab Demi Penyokong Melaka United, Ronny Samad pula menganggap kerajaan perlu mengambil kira pandangan penyokong sebelum membuat keputusan.

“Tanpa penyokong, perlawanan ibarat seperti latihan biasa sekali gus merekodkan saingan hanya umpama melengkapkan jadual perlawanan.”