Luqman Hakim Shamsudin tersenarai dalam Anugerah Budak Emas edisi 2020.
Pencalonan itu boleh dianggap cukup berprestij apabila Luqman dicalonkan bersama-sama 80 bintang muda dunia termasuklah bintang Borussia Dortmund, Erling Braut Haaland, dan Jadon Sancho serta bintang muda Man United, Mason Greenwood.
Pemain berusia 18 tahun itu kemungkinan terpilih berdasarkan prestasinya dalam skuad kebangsaan semasa beraksi untuk Kejohanan AFC B-16 dan Kejohanan AFF B-19 pada tahun lalu.
Luqman mula menjadi perhatian ramai apabila tersenarai dalam 60 pemain muda terbaik dunia oleh akhbar terkemuka UK, The Guardian.
Popularitinya berada di puncak apabila menerima tawaran kontrak oleh kelab Belgium, KV Kortrijk.
Selepas terkandas di Selangor II selama beberapa bulan akibat wabak COVID-19, Luqman dijangka ke Eropah pada bulan depan.