Sebenarnya banyak kelab Inggeris menawarkan tempat kepada beberapa pemain muda Malaysia.
Ini boleh dibuktikan dengan pengakuan Ahmad Mubashshir Azizi yang mendapat tawaran dari kelab Premier League, Burnley.
Namun disebabkan kesukaran untuk mendapatkan visa dan permit kerja di United Kingdom, pemain berusia 18 tahun itu membuat keputusan untuk menerima kontrak dari akademi FC Malaga City yang berpangkalan di Sepanyol.
“Ayah saya hantar saya pergi latihan selama dua minggu di UK Football Trials dan merekalah yang mencadangkan nama saya di FC Malaga City,” katanya kepada Arena Metro.
“Saya juga pergi beberapa kelab di UK antaranya Burnley dan Leyton Orient.
“Saya terpilih untuk ke Burnley tetapi atas masalah nak dapatkan visa jadi saya terpaksa lupakan hasrat itu dan memilih FC Malaga City di Sepanyol.”
Bagaimanapun, Ahmad tidak terlalu memikirkan soal beraksi di England sebaliknya mahu terus mengembangkan kariernya di Sepanyol.
“Memang tahap permainan bola sepak di Eropah agak berbeza dengan Malaysia. Kalau boleh saya nak teruskan bermain di Sepanyol dan harap dapat sertai mana-mana kelab di sana atau pasukan lain di Eropah.”
Sebelum ini, Allee Putra juga menyertai UK Football Trials namun membuat keputusan untuk menerima tawaran FC Malaga City.
Ini bermakna, ramai pemain muda Malaysia seperti Mubashshir, Allee Putra Azril, Aniq Asri Nasharudin Elias dan M Devekumaran berada di Sepanyol ketika ini.
Selain itu, Omar Raiyan Kama Azlan pula sudah menandatangani kontrak dengan kelab Serbia, Red Star Belgrade.
Luqman Hakim Shamsudin mungkin akan mengikut jejak langkah mereka tidak lama lagi.