Malaysia Berita

Bandar Bolasepak di Putrajaya bakal siap sepenuhnya pada 2023

Pembinaan Bandar Bolasepak di Presint 5, Putrajaya bakal siap sepenuhnya pada 2023. Ia merupakan hasil kerjasama FAM, AFF dan AFC untuk menyediakan fasiliti bolasepak terbaik di negara ini.

Dengan keluasan 42.43 ekar (lebih 17 hektar), ia akan menempatkan sebuah stadium bola sepak berkapasiti 10,000 penonton milik AFC, ibu pejabat FAM serta pusat latihan bola sepak kebangsaan dan ibu pejabat AFF.

“Soccer City akan menjadi hab pembangunan bola sepak yang besar yang merangkumi ibu pejabat untuk badan induk Asia, ASEAN dan Malaysia, selain kelengkapan stadium mini dan padang bola sepak yang mampu menampung program bola sepak di peringkat akar umbi sehingga kebangsaan,” kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika penyerahan dokumen antara FAM, AFC dan Perbadanan Putrajaya.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata lebih RM500 juta dibelanjakan untuk membangunkan bandar tersebut.

Beliau berkata, AFC akan membelanjakan sekitar USD100 juta (kira-kira RM426 juta) untuk pembinaan stadium, manakala pusat latihan skuad kebangsaaan akan menelan kos RM45 juta dan memerlukan peruntukan daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Malah, Annuar berkata kerajaan berhasrat untuk menamakan bandar bolasepak itu sempena dengan bekas presiden FAM, Almarhum Sultan Ahmad Shah.

“Waktu itu saya Timbalan Presiden FAM, ini idea daripada Almarhum Sultan Ahmad Shah supaya pejabat AFF, AFC dan FAM berpindah ke Putrajaya. Ia telah dipermudahkan kerana Tuanku mengambil berat, memberikan tanah dan sebagainya.

“Jadi saya fikir wajar untuk menamakannya sebagai ‘Sultan Ahmad Shah Soccer City’ atau ‘Sultan Ahmad Shah Soccer and Sports City’ kerana baginda merupakan aktivitis sukan negara yang unggul.”

Nama itu akan diusulkan ketika Annuar menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin ini, untuk merafak sembah pohon perkenan menggunakan nama Almarhum Paduka Ayahandanya secara rasmi.

Selain itu, empat padang bola sepak komuniti dan kemudahan-kemudahan lain akan turut dibina di kawasan berhampiran.