Liga Super Malaysia Berita

Sathia: Pasukan Liga Malaysia perlukan latihan bersentuhan selama sebulan

Jurulatih Selangor, B. Sathianathan mengharapkan MFL dapat mengusulkan kepada kerajaan untuk mendapatkan kebenaran bagi mengadakan sesi latihan bersentuhan selama sebulan.

Beliau berkata, sesi latihan melibatkan sentuhan fizikal antara pemain amat diperlukan supaya pasukan lebih bersedia untuk beraksi dalam perlawanan.

Katanya, sesi latihan tanpa sentuhan selama tiga minggu boleh diterima, tetapi persediaan untuk saingan liga memerlukan latihan penuh.

“Sekurang-kurangnya latihan kontak diperlukan selama sebulan,” kata Sathia kepada Astro Arena.

“Latihan bermula dengan taktikal, kemudian dalam perlawanan ujian dan persahabatan, barulah pasukan bersedia untuk menghadapi saingan kompetitif.”

Selangor masih belum melengkapkan empat aspek penting yang diminta MFL dan mungkin akan menjalani sesi latihan pada minggu hadapan.

Disebabkan persiapan pasukan, Sathia melarang pemainnya merentas negeri.

“Tiada pemain yang dibenarkan pulang ke kampung. Terdapat syarat yang telah ditetapkan bahawa setiap pemain perlu melaporkan kepada pasukan di mana mereka berada.”