Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan bahawa KAFA diberi tempoh sehingga 30 Jun untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain.
Beliau berkata, FAM sudah memberikan kelonggaran kepada badan bolasepak Kelantan itu sejak bulan April, dan sekiranya mereka didapati melanggar perjanjian penyelesaian tunggakan termasuk gagal membuat pembayaran ansuran mengikut masa yang ditetapkan, besar kemungkinan pemotongan mata akan dikenakan.
“Kita kena rujuk kepada kes lama yang sudah diputuskan oleh Jawatankuasa Status FAM yang mana KAFA sudah pun mengemukakan pelan bayaran yang dipersetujui mereka, pemain dan pegawai,” katanya kepada BH Sukan.
“Tarikh sebenar adalah April lalu, tapi disebabkan PKP, kita lanjutkan ke 30 Jun dan jika pembayaran bulanan tidak dilakukan mengikut persetujuan, perkara itu akan pergi ke Jawatankuasa Pelesenan dan mereka akan buat keputusan mengenai perkara ini.”
Stuart, bayaran tunggakan gaji itu tidak termasuk dengan kes Cassio dan Bruno Lopes yang kini berada di bawah kuasa FIFA.
Ia hanya melibatkan kes tunggakan gaji pemain tempatan seperti Mohd Badhri Radzi yang mendakwa KAFA gagal membuat pembayaran ansuran tunggakannya sejak bulan April.
“Kes pemain import, FIFA yang akan ambil tindakan dan dalam undang-undang kita tak boleh hukum dua kali atas satu kesalahan yang sama. Jadi bila kes itu sudah ke FIFA, kita biarkan dalam tangan FIFA dan kita akan ambil tindakan terhadap kes yang tiada di dalam FIFA.”