Desas-desus perpindahan pemain Pahang, Mohamadou Sumareh ke JDT sudah tersebar sejak awal musim 2020 lagi, namun dalam dua hari kebelakangan ini khabar angin itu timbul semula.
Ini semua disebabkan pemain berusia 25 tahun itu menunjukkan hubungan yang mesra dengan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di media sosial.
Sumber Arena Metro melaporkan, Matthew Davies juga pernah menunjukkan hubungan yang mesra dengan TMJ, sebelum pemain itu menyertai JDT pada musim ini.
Malah, Sumareh dilaporkan sudah mengadakan perbincangan bersama juara bertahan Liga Super selepas kontraknya dengan Pahang bakal berakhir pada musim ini.
“Kontrak dia pun akan habis hujung tahun ini,” kata sumber itu.
“Perpindahan Davies pada awal musim ini pun sebenarnya sudah dijangka kerana JDT sekarang sedang menstruktur semula pasukan selepas ramai pemain utamanya semakin dimamah usia.
“Malah, tindakan pemilik JDT membalas komen Sumareh di laman sosial juga adalah isyarat seperti mana beliau juga pernah lakukan perkara sama ke atas Davies sebelum penghijrahannya ke skuad Harimau Selatan.”
Dengan keadaan Liga Malaysia masih ditangguhkan, serta perancangan MFL untuk menyambung saingan pada September ini, tidak mustahil JDT bertindak lebih awal untuk mendapatkan pemain-pemain baharu, termasuk Sumareh.