Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid enggan mengalah mahupun menarik diri meskipun berdepan cabaran besar untuk menyelesaikan hutang pasukan Kelantan pada musim ini.
Malah, KAFA dilaporkan sedang berunding dengan Cassio berkenaan dengan tuntutan gaji RM629,620.28.
“KAFA yakin rakyat Kelantan sayangkan sejarah kegemilangan TRW dan masih berpeluang untuk menyelamatkan masa depan bola sepak negeri ini tambahan pula perkara ini masih dalam perhatian Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas KAFA menghantar permohonan baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan.
“Jika lebih ramai rakyat Kelantan yang prihatin dan dermawan menyertai kutipan ini ia akan pasti berjaya, bayangkan jika penderma menderma RM10 seorang, jika ia boleh cecah sampai ratusan ribu penderma maka kutipan tabung ini pasti berjaya.
“Jadi di kesempatan Syawal yang mulia ini KAFA berharap rakyat Kelantan dan anak Kelantan yang berkemampuan sudi untuk terus menderma membantu meringankan beban KAFA.”
Pada masa sama, Muzakkir tetap enggan menyalahkan sesiapa dalam isu tunggakan pasukan.
“Sejak kita ambil alih pengurusan pada Jun tahun lalu sehingga kini selama 11 bulan, banyak perkara yang kita usaha dan lakukan termasuk bayar segala hutang yang membolehkan kita mendapat lesen dan tidak dikenakan potongan mata sehingga kita boleh bersaing pada saingan Liga Premier.
“Tidak perlu menyalahkan sesiapa lebih lagi dalam hal ini, apa yang kami lakukan ini kerana masa terhad dan pergerakan terbatas serta sumber kewangan yang tidak dapat dijanakan kerana semuanya terkesan akibat pandemik Covid-19, yang sekali gus menyebabkan penangguhan saingan Liga Malaysia sejak 16 Mac lalu.”