Liga Premier Malaysia Berita

Piya, Norfarhan bantai KAFA

Belum pun reda dengan isu Cassio, KAFA seolah-olah ditumbuk bertubi-tubi apabila bekas kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi tampil mendakwa bekas pasukannya melanggar perjanjian bayaran tunggakan gaji secara ansuran.

Mohd Badhri atau Piya menuduh Kelantan FA masih tidak membayar gajinya pada bulan April.

“Mengikut perjanjian sebelum ini KAFA perlu membayar RM20,000 kepada saya setiap 5 hari bulan. Namun, sejak April lalu mereka tidak membuat pembayaran kepada saya,” katanya kepada BH Sukan.

“Apa lagi yang mereka mahu? Sebab saya sendiri sudah bertolak ansur dengan memberi pengurangan sebanyak RM25,000 daripada jumlah keseluruhan tunggakan.

“Memang sangat kecewa kerana mereka sudah berjanji membuat bayaran mengikut masa dan tarikh yang diberikan. Namun, mereka kini seakan mendiamkan diri dan lebih fokus kepada menyelesaikan hutang pemain import sahaja.

“Jangan lupa bahawa mereka juga ada hutang dengan pemain tempatan dan kami juga ada tanggungjawab atau komitmen yang perlu diselesaikan seperti membayar rumah dan kereta.”

Bekas pemain tengah Kelantan, Norfarhan Muhammad turut tampil mengkritik KAFA dan meminta mereka bertanggungjawab di atas masalah kewangan yang dihadapi pasukan ketika ini.

“Memang KAFA salah. Semasa pemain bagi kelonggaran sehabis daya sehabis murni dah bertolak ansur dengan KAFA.. Tapi pihak KAFA hanya pentingkan diri.

“Benda boleh selesai elok-elok siap bagi kurang dari jumlah sebenar pun masih diam membisu. Apabila berlaku begini cuak nak minta derma sana sini. Apa fungsi orang dalam KAFA itu sendiri? Suruh orang dalam KAFA itu derma dulu.

“Bila jadi begini boleh pulak kata ‘tak tahu KAFA berhutang’. Sudah-sudahlah berdrama. Bubar KAFA.”