Asmirul Anuar Aris mengumumkan peletakan jawatan sebagai setiausaha kehormat Kedah FA berkuatkuasa serta-merta.
Peletakan jawatan tersebut dibuat selepas kerajaan negeri Kedah bertukar pentadbiran secara rasmi pada minggu ini.
Sejak memegang jawatan itu pada 2018, Kedah berjaya menjulang Piala FA pada 2019 dan tiga kali naib juara iaitu Piala Malaysia 2019, Piala Sumbangsih 2018 dan Piala Sumbangsih 2020.
Namun kredibiliti Asmirul dipertikai apabila Kedah berdepan masalah tunggakan gaji pemain hingga tiga bulan sekaligus mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk daripada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Asmirul bagaimanapun tidak melupakan tunggakan gaji yang dihadapi pemain sebelum meletakkan jawatan.
“Suka saya maklumkan pada tarikh 14.05.2020, Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah meluluskan pembayaran RM1.5 juta kepada KFA,” katanya menerusi akaun Facebook rasminya.
“Sebelum itu, pada 13.05.2020, saya telah mengarahkan pembayaran tunai RM500K dibuat menjadikan keseluruhannya RM2 juta untuk pembayaran gaji pemain bola sepak Kedah.
“InsyaAllah..sebagaimana yang di janjikan dalam tempoh PKP, segala pembayaran akan segera di lunaskan oleh pihak pengurusan KFA sebelum Aidilfitri.”
Asmirul turut mengucapkan terima kasih kepada barisan pemain dan jurulatih Kedah.
“Saya mengucapkan ribuan terima kepada seluruh pemain, pengurusan KFA terutamanya Ketua Jurulatih Saudara Aidil Sharin Sahak yang telah berusaha sebaik mungkin untuk peminat serta penyokong bolasepak Negeri Kedah.
“Ampun dan maaf di atas kekurangan mahu pun kedaifan diri..Selamat maju jaya kepada Pasukan Bola sepak Kedah musim 2020. Di iringi doa semoga berjaya melangkah ke peringkat yang lebih tinggi di masa hadapan.”
Asmirul juga memberi penghargaan kepada penyokong Kedah yang setia menyokong pasukan negeri.
“Tidak dilupakan kepada seluruh peminat pasukan ‘Hijau Kuning’, bakti serta jasa anda semenjak zaman berzaman buat pembangunan bola sepak negeri Kedah amat besar di persada tanah air.”