Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mengakui bukan pasukan sahaja yang berdepan masalah kewangan, penangguhan liga juga memberi kesan kepada MFL sendiri.
Katanya, walaupun terpaksa menanggung kerugian, MFL tetap menjalankan tugas demi kelangsungan bolasepak negara.
“Mana ada orang untung dalam keadaan sekarang. Ini situasi rugi-rugi, semua mengalami kerugian, termasuklah MFL,” katanya kepada BH Sukan.
Bagaimanapun, Ghani mengakui pihak penaja masih kekal memberikan sokongan terhadap Liga Malaysia setakat ini.
“Alhamdulillah setakat ini semuanya ok, tapi kita pun masih berunding juga. Memberi perkembangan kepada mereka apa yang berlaku supaya mereka faham keadaan dan setakat ini penaja masih lagi bersama MFL.
“Kita tidaklah sampai sama seperti Liga Eropah, mereka liga kaya dan memang akan rugi mencecah angka bilion. Liga kita hanya tertumpu di negara ini dan bukan satu liga yang mendatangkan banyak keuntungan.
“Kita cuma menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan untuk menganjurkan Liga M, untuk rakyat, untuk pasukan kebangsaan menghadapi pelbagai kejohanan antarabangsa.”