Sejak tahun lepas, nama Mukhairi Ajmal Mahadi semakin dikenali dalam kalangan peminat bolasepak Malaysia.
Mukhairi mula mencipta nama apabila dia membuat penampilan sulungnya bersama PKNP FC dalam Liga Super, ketika hanya berusia 18 tahun.
Mukhairi turut menjadi kapten pasukan Bawah 18 Tahun (B-18) negara pada Kejohanan B-19 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2019 sehingga muncul naib juara.
Malah, Mukhairi mencipta kejutan apabila menjadi penjaring termuda musim lepas apabila meledak gol ketika beraksi dengan PKNP ketika menentang Kedah pada suku akhir Piala Malaysia 2019.
Abu Bakar Fadzim selaku jurulatih PKNP ketika itu, mengakui dia memberikan peluang kepada Mukhairi untuk beraksi kerana percaya dengan keupayaan pemain itu.
“Bila tengok lariannya bersama bola dan juga tanpa bola, seolah-olah dia sudah merancang sesuatu,” katanya kepada Bernama.
”Bukan senang kita nak tengok pemain muda yang begitu selesa di atas padang bersaing bersama lawan yang lebih banyak pengalaman.
“Saya berbangga kerana kita ada pemain muda seperti Mukhairi yang berani membuat keputusan dan tidak teragak-agak dalam padang.”
Mungkin ramai yang menyangka Mukhairi dilatih di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) tetapi bakatnya mula dikenalpasti ketika dia menuntut di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar, Johor.
Namun, Abu Bakar menyifatkan Mukhairi sebenarnya pemain muda yang mempunyai tahap kecerdasan intelektual (IQ) yang tinggi.
“Tidak hanya dengan memiliki susuk badan yang tegap dan kemampuan membuat larian pantas, dia juga mempunyai IQ yang sangat tinggi.
“Lihat sahaja gaya permainannya, dia boleh mencorakkan perlawanan dan berfikir dalam tempoh yang singkat sebelum membuat hantaran bola.
“Mukhairi juga gemar datang daripada belakang untuk menutup ruang sebelum merampas bola dari pihak lawan. Itu adalah ciri-ciri pemain dengan kualiti yang sangat baik.”
Prestasi Mukhairi mendapat perhatian ramai pihak dan dia akhirnya memilih untuk menyertai Selangor dan kini beraksi dengan Selangor II.
Abu Bakar yang kini menjadi jurulatih Perak II, sedih kerana kehilangan pemain berbakat seperti Mukhairi namun berharap pemain muda itu dapat meningkatkan lagi prestasinya.
“Saya rasa kehilangan apabila PKNP FC tutup dan Mukhairi ambil keputusan untuk ke Selangor II kerana memang saya nampak dia seorang pemain muda yang hampir sempurna.
“Disebabkan itu juga saya berani beri beliau peluang beraksi dalam Piala Malaysia.
“Mukhairi seorang pemain muda yang hampir sempurna dan mana-mana pasukan akan gembira untuk mendapatkan pemain muda berkualiti sepertinya.
“Tetapi dengan masa yang ada dia tidak boleh cepat berpuas hati lagi.”