Liga Super Malaysia Berita

Melaka United sudah kehabisan wang

Melaka United dilaporkan mahu menangguhkan lagi bayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan apabila pasukan Liga Super itu sudah kehabisan wang untuk membayar hutang RM800,000.

Laporan Arena Metro menyatakan, rata-rata pemain tidak bersetuju dengan penangguhan pembayaran tunggakan gaji tersebut, sedangkan mereka masih belum menerima bayaran untuk bulan Febuari dan Mac.

“Ketika ini pengurusan Persatuan Bolasepak Melaka United sedang memujuk pemain dan pegawai pasukan untuk bersetuju bagi menangguhkan lagi tunggakan gaji terbabit bagi mengelak pasukan dikenakan tindakan,” kata sumber dalaman persatuan itu.

Jika Melaka United masih gagal membayar tunggakan gaji pemain selepas 30 April, FAM mungkin akan mengambil tindakan pemotongan mata, ataupun berdepan dengan hukuman yang lebih berat.

Pasukan Pantai Barat itu telah dikenakan pemotongan mata sebelum ini akibat gagal melunaskan tunggakan gaji dalam tempoh yang ditetapkan.

Malah, Melaka United juga baru sahaja diambil alih oleh pengurusan baharu selepas berlakunya pertukaran kerajaan negeri Melaka.

Walaupun berlakunya perubahan tampuk pentadbiran, nampaknya pihak pengurusan masih gagal mencari jalan penyelesaian kepada masalah tunggakan gaji pemain.

Penularan wabak COVID-19 memburukkan lagi keadaan apabila Liga Malaysia terpaksa ditangguhkan, sekali gus melenyapkan sumber pendapatan pasukan seperti penjualan tiket perlawanan dan dana penaja.

Jika tiada jalan penyelesaian, akan ada pasukan Liga Super yang terpaksa gulung tikar pada masa akan datang.