Liga Super Malaysia Berita

FAM masih berharap

Walaupun Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri sudah menyatakan pendirian jelas kerajaan untuk tidak membenarkan Liga Malaysia disambung semula, FAM berharap dapat menerima satu jawapan rasmi bertulis supaya dapat mengambil tindakan selanjutnya.

Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata keputusan rasmi itu penting supaya FAM dapat memberi penjelasan mengenai alasan pembatalan liga kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) atau Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“FAM memang sudah bersedia dengan beberapa pilihan termasuk bahawa liga tidak akan diteruskan. Jadi bukan satu perkara yang mengejutkan berdasarkan pengumuman yang dibuat menteri,” katanya kepada BH Sukan.

“Kita tahu Menteri sudah jawab, ia boleh dianggap rasmi dan kita pun sudah boleh nampak. Cuma kita harap ada keputusan rasmi atau hitam putih yang akan dihantar pihak kerajaan kepada FAM.

“Kita jangka akan terima keputusan itu minggu depan. Ia kerana pembatalan turut membabitkan pihak lain seperti AFC dan sebagainya.”

Jumaat lalu, FAM menghantar permohonan rasmi kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan nasihat dan kelulusan untuk menggunakan prosedur standard operasi (SOP) yang perlu dipatuhi sebelum menyambung semula liga.

Namun, kenyataan Ismail yang melarang sama sekali sebarang bentuk perhimpunan termasuk aktiviti sukan mengejutkan ramai pihak, sekali gus memusnahkan harapan ramai pihak yang bekerja dalam sektor sukan serta Liga Malaysia sendiri, malah tidak mustahil akan berlaku pengangguran besar-besaran dalam dunia bolasepak Malaysia tidak lama lagi.