Malaysia Berita

Melaka United, Kelantan minta kelonggaran

Dua pasukan yang menghadapi masalah kewangan ketika ini iaitu Melaka United dan Kelantan meminta FAM supaya memberikan kebenaran untuk membuat pemotongan gaji kepada pemain, meskipun masih gagal untuk melunaskan tunggakan gaji yang sedia ada.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United, Mohd Ashiq Abd Samad mendedahkan pasukannya mempunyai hutang hampir RM5 juta dan sukar untuk ia diselesaikan dalam masa terdekat.

“Kami tidak pernah lupa atau memandang ringan tunggakan gaji membabitkan pemain namun ketika ini ada sedikit masalah kerana pertukaran tampuk pemerintahan mengambil masa untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya kepada Arena Metro.

“Saya mengharapkan FAM boleh mempertimbangkan untuk memberi kebenaran kepada kami membuat pemotongan gaji jika mendapat persetujuan daripada pemain.”

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan, Hussin Deraman turut mengakui pasukannya mempunyai tunggakan kira-kira RM4 juta.

Namun, ia merupakan hutang lapuk dan pihak pengurusan telahpun mendapat persetujuan pemain untuk diselesaikan secara ansuran.