Liga Super Malaysia Berita

[VIDEO] Kedah hargai petugas barisan hadapan COVID-19

Kesemua barisan pemain, staf kejurulatihan serta barisan pemimpin Kedah tampil mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan COVID-19 dan menghargai pengorbanan mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penghargaan itu dibuat menerusi video yang disiarkan di akaun rasmi Facebook, FA Kedah.

“Sewaktu kejohanan bola sepak ditangguhkan, pasukan kita masih lagi cergas berlatih di rumah masing-masing seperti yang diarahkan oleh jurulatih Aidil,” kata Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Zaquan dengan ‘mini gim’ nya, Kpah Sherman pula nampak Stadium Darul Aman dari balkoni rumah sambil berlatih dan semua pemain kita masih berlatih mengikut rutin yang ditetapkan oleh jurulatih.

“Saya harap kita akan terus bersedia dan bila sudah habis PKP ini, dan bila kejohanan bola sepak kita dimulakan balik nanti, kita dah bersedia untuk menghadapi apa juga cabaran daripada pasukan-pasukan lain.

Mukhriz turut memberikan pesanan kepada para peminat untuk terus berada di rumah bagi membantu mengurangkan kes COVID-19 di negara ini.

Kedah FA x PKP

Pesanan dari Pasukan Kedah Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)Peringatan dan kata semangat dari pasukan kepada semua penyokong Kedah, jaga kebersihan, amalkan penjarakan sosial dan #stayathome.Jom dengar pesanan Dato' Seri Utama Haji Mukhriz Tun Mahathir, YB Asmirul Anuar Aris, Al-Naliq Hasmi Abu Hassan, Aidil Sharin Sahak, Baddrol Bakhtiar, Zaquan Adha Abd Razak, Azmeer Yusof, Kpah Sean Sherman dan Mohd Fayadh Zulkifli Amin.

Posted by FA Kedah on Sunday, April 19, 2020

“Amalkanlah kebersihan yang baik contohnya perlu basuh tangan selalu, pakai pembasmi kuman ataupun basuh dengan air dan sabun, pakai penutup dan topeng muka, dan kalau masuk pasaraya atau mana-mana kedai amalkanlah penjarakan sosial.

“Kita mesti juga kena ingat, benteng pertahanan terakhir yang menjalankan tugas di hospital-hospital, di pusat-pusat kesihatan kerana mereka ini bersengkang mata berkorban macam-macam untuk memastikan bahawa pesakit-pesakit Covid-19 dirawat dengan baik. Ramai pesakit yang dah pulih walaupun ada juga kematian.

“Jadi patuh PKP duduk di rumah, PKP itu juga bermakna Pulun Kedah Pulun.”

Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkongsikan pandangan dan nasihatnya kepada peminat.

“Sudah hampir sebulan kita berada di rumah dan ia adalah sangat mencabar tapi demi keselamatan dan kebaikan untuk semua rakyat, kita harus patuhi PKP.

“Kita perlu bersyukur dapat hidup dengan kecanggihan teknologi pada hari ini memudahkan kami bekerja di rumah, saya dapat membaca buku digital, melihat analisis bola sepak dan juga membuat panggilan video dengan pemain-pemain untuk menambahbaik program latihan yang boleh dilakukan di rumah..

“Jadi kita perlu kekal positif dan sambil kita menikmati masa bersama keluarga, jangan lupa untuk kekal cergas dan sihat. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada semua barisan hadapan yang membantu semua rakyat seluruh Malaysia dan juga di Singapura semasa kesusahan sepanjang memerangi Covid-19 ini.

“Jangan lupa menjaga kebersihan kita, marilah beramai-ramai kekal dirumah ‘stay home’, ‘stay safe’ dan Pulun Kedah Pulun.”