Malaysia Berita

MFL enggan batalkan Liga Malaysia musim ini

Selepas kerajaan membuat keputusan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari lagi, MFL masih enggan membuat sebarang keputusan termasuklah membatalkan Liga Malaysia musim ini susulan penularan COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata pihaknya sudah mempunyai perancangan untuk berhadapan dengan situasi genting ketika ini.

Cuma, beliau enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai perancangan yang sudah dirangka kerana ia membabitkan Lembaga Pengarah MFL.

“Kita anggap pandangan itu hak masing-masing,” katanya kepada BH Sukan.

“Tapi bagi pihak MFL kita sudah ada perancangan sendiri.

“Mungkin terlalu awal dan kita pun tak tahu apa yang akan berlaku selepas ini. Kita kena bersabar dan pasukan pun memahami situasi sekarang ini. Kita kena kuat dan tak boleh patah semangat untuk menghadapi perkara ini.

“Kita akan maklumkan kepada semua pihak terutama rakan kongsi dan kita juga akan menunggu pengumuman daripada kerajaan selepas 28 April ini.”