Liga Super Malaysia Berita

FAS: Kewangan Selangor kukuh, tidak perlu potong gaji

Selangor mengesahkan barisan pemain, kejurulatihan dan kakitangan tidak akan dikenakan sebarang pemotongan gaji meskipun berhadapan dengan kesan wabak COVID-19.

Menurut laporan dari Goal.com, perkara itu dinyatakan oleh Presiden FAS Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Shah dalam satu surat pekeliling yang dikeluarkan pada 4 April.

“Kami berbesar hati mengumumkan kewangan Selangor berada dalam keadaan kukuh untuk beberapa bulan akan datang.

“Pihak pengurusan akan mengadakan perbincangan dengan penaja dari kerajaan negeri, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat swasta bagi memastikan perjanjian dalam penajaan yang telah dipersetujui sebelum ini akan tetap berlangsung seperti biasa.

“Pengurusan akan terus menjaga kebajikan pemain, pegawai dan kakitangan pasukan selagi mereka berada di bawah persatuan.”

Tengku Amir turut memberi nasihat supaya menggunakan segala bantuan kewangan yang disediakan oleh kerajaan untuk mengurangkan kesan wabak koronavirus pada masa akan datang.