Liga Super Malaysia Berita

MFL sudah bersedia dengan format baharu Liga Malaysia

Malaysian Football League (MFL) telah bersedia dengan beberapa pilihan alternatif bagi meneruskan kalendar bola sepak tempatan pada musim 2020 jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 sehingga 14 April ini dilanjutkan kepada satu tarikh baharu.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan menjelaskan bahawa keputusan sama ada untuk meneruskan kalendar bola sepak Malaysia turut bergantung dengan arahan pihak Kerajaan daripada sudut bilakah pengumuman status PKP akan berakhir serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“MFL sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan yang berlaku dan kami juga bersedia dengan beberapa pilihan jika sekiranya PKP masih lagi dilanjutkan tempoh.

“Untuk makluman segala persiapan dan perancangan MFL melibatkan CIMB Liga Super, Liga Premier, Shopee Piala FA, Challenge Cup, TM Piala Malaysia serta saingan liga amatur M3 kelolaan Amateur Football League (AFL).

“Namun begitu segala keputusan ini masih tertakluk kepada arahan kerajaan berhubung bilakah status PKP akan berakhir dan sebaik tempoh akhir PKP telah diumumkan, MFL akan memaklumkan dengan lebih terperinci berhubung format yang akan digunapakai,” katanya.

Terdahulu, FAM dan MFL mengambil maklum berhubung situasi semasa tahap penularan terkini wabak COVID-19 yang telah menyebabkan PKP selama 14 hari dari 18 hingga 31 Mac 2020 telah pun dilanjutkan sehingga 14 April 2020.

Ia sekali gus turut mempengaruhi perjalanan baki saingan Liga Malaysia 2020 termasuk saingan Liga M3 yang sudah ditangguhkan bermula 16 Mac 2020 akibat penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Berhubung dengan kenyataan terbaharu KKM yang menyeru agar semua masyarakat tidak menyertai sebarang bentuk perhimpunan dalam tempoh enam bulan sehingga setahun, Dato’ Ab Ghani berkata, pihak MFL akan menunggu terlebih dahulu garis panduan terperinci daripada KKM selepas tamat tempoh PKP.

“Mengenai saranan KKM itu, kita ambil maklum namun adalah lebih baik kita menunggu tempoh PKP selesai dan garis panduan terbaharu dikeluarkan oleh KKM dan pihak Kerajaan sebelum MFL membuat sebarang keputusan mengenai perjalanan Liga Malaysia musim 2020,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Ab Ghani turut menyeru kepada kesemua pegawai dan pemain pasukan Liga Malaysia dapat menerima penangguhan liga ini secara terbuka.

Lebih tepat, beliau menggesa kesemua pasukan terus mengadakan perbincangan bersama pemain dan pegawai berhubung status kontrak ketika menempuhi pandemik COVID-19 yang jelas memberikan impak besar kepada masalah kewangan setiap pasukan bertanding.

“Saya menyeru pegawai dan pemain pasukan agar menerima penangguhan liga ini secara terbuka dan terus mengadakan perbincangan dengan pemain dan pegawai berhubung status kontrak.

“Pujian harus diberikan kepada UKM FC yang telah mengadakan perbincangan bersama pegawai dan pemain manakala pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pula bersetuju untuk pemotongan gaji sebanyak 33 peratus dan mendermakan sebahagian dari gaji mereka kepada Tabung Bencana Negeri Johor dalam usaha meringankan beban kelab serta masyarakat pada waktu yang mencabar ini.

“Malah yang terbaharu, satu lagi kelab Liga Premier, Kuching FA sudah mendapat sokongan daripada pemain untuk melakukan pemotongan gaji sebanyak 5 peratus pada bulan ini selain turut menderma kepada golongan terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

“Saya berharap pasukan-pasukan lain dapat bergerak ke arah itu di mana bukan sahaja pasukan dari Malaysia sebaliknya seluruh kelab di dunia ini sedang terpalit mengalami masalah terjejas kewangan gara-gara pandemik COVID-19 ini,” katanya.

Dalam pada itu Dato’ Ab Ghani turut memaklumkan bahawa penaja-penaja utama iaitu Telekom Malaysia (TM), CIMB dan Shopee telah memberikan komitmen untuk terus kekal bersama dan mereka memberikan sokongan penuh kepada MFL ketika mengharungi detik sukar pandemik COVID-19.