Liga Super Malaysia Berita

Jadual Liga Malaysia dijangka lebih padat, ramai cadang pendekkan format Piala Malaysia 2020

Selepas Liga Malaysia ditunda minggu lepas berikutan wabak COVID-19 tanpa diketahui bilakah liga akan disambung semula, rata-rata pasukan mula bimbang dengan jadual yang akan menjadi lebih padat selepas ini.

Jika liga ditunda pada bulan ini sehingga hujung bulan April, ia bermakna liga mungkin akan dilanjutkan sehingga bulan Ogos sedangkan Piala Malaysia lazimnya bermula pada bulan itu sehingga November.

Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Bakar berpendapat mengubah format Piala Malaysia adalah yang terbaik ketika ini.

“Kami tak dapat makluman liga akan tangguh sampai bila,” katanya kepada Arena Metro.

“Mungkin liga akan tangguh hingga hujung April atau mungkin lepas raya akan sambung.

“Jadual liga mungkin akan lebih padat maknanya lepas Sabtu dan Ahad, kami akan main Selasa atau Rabu dan disambung terus.

“Selain itu, kita juga ada Piala FA dan Piala Malaysia. Saya berharap kita tak beraksi hingga Disember, mungkin boleh mengurangkan pasukan bertanding dalam Piala Malaysia nanti.

“Apabila kurangkan pasukan, mungkin boleh habis ikut jadual pada November ini tanpa perlu hingga Disember yang akan beri kesan sampingan kepada pasukan nanti. Saya kira ia boleh dibincangkan dalam mesyuarat bersama rakan kongsi MFL nanti.”

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Hussin Deraman menganggap penundaan liga akan memberi kesan kepada kewangan pasukan dan kontrak pemain.

Musim 2015 menyaksikan Liga Malaysia terpaksa ditunda kerana jerebu namun ada pemain yang enggan beraksi susulan kontrak berakhir hujung November.

“Rata-rata pemain semua menandatangani kontrak hanya hingga November. Kalau terpaksa main hingga Disember, pasukan perlu memujuk pemain untuk kekal dan ia akan memberi kesan kepada kewangan.

“Malah, macam kami sekarang pun bila liga ditangguhkan, Kafa berdepan masalah kerana kewangan pasukan bergantung harap kepada jualan tiket penonton. Saya harap kami akan dapat kaedah terbaik untuk atasi masalah ini.”