Liga Super Malaysia Berita

MFL: Selangor sah tidak boleh guna Stadium Shah Alam, diarah cari gelanggang alternatif

Malaysian Football League (MFL) mengesahkan bahawa Stadium Shah Alam tidak boleh digunakan selepas mendapati keadaan semasa bumbung masih tidak selamat untuk perlawanan Liga Malaysia musim 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan berkata pihaknya telah
memaklumkan perkara itu kepada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) melalui surat rasmi pada 28 Februari lalu selepas melakukan tiga kali pemeriksaan keselamatan terhadap Stadium Shah Alam.

Katanya, MFL mendapati Stadium Shah Alam yang didaftar sebagai tuan rumah Selangor tidak berada di tahap meyakinkan walaupun telah mengadakan pemeriksaan keselamatan pada 10 Januari 2020, 21 Februari dan 28 Februari.

“Keputusan pemeriksaan mendapati keadaan semasa bumbung Stadium Shah Alam diyakini masih tidak selamat untuk digunapakai bagi pengelolaan perlawanan Liga Malaysia musim 2020.

“Sehubungan dengan itu, pihak MFL telah memutuskan bahawa Stadium Shah Alam tidak boleh digunakan bagi pengelolaan perlawanan Liga Malaysia musim 2020 sehingga proses baik pulih bumbung siap sepenuhnya berserta jaminan keselamatan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Darul Ehsan Facilitates Management Sdn Bhd (DEFM).

“Pemakluman secara drastik ini dibuat setelah mengambil kira aspek-aspek persiapan dan keselamatan pasukan pelawat, penyokong, penyiaran siaran langsung, media dan komersial.

“Pasukan Selangor perlu menamakan venue lain sebagai gelanggang tuan rumah dengan kadar segera selewat-lewatnya sebelum 2 Mac iaitu esok.”

Selangor dijadualkan menentang Perak bagi saingan CIMB Liga Super di Stadium Shah Alam pada 7 Mac ini.