Liga Super Malaysia Berita

Perak: Mehmet Durakovic sasar top 3 Liga Super

Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic mendedahkan beliau meletakkan sasaran tiga tempat teratas dalam Liga Super musim ini.

Beliau tidak menyasarkan tempat pertama mahupun memenangi sebarang piala kerana mengakui pasukannya terkesan dengan kehilangan beberapa pemain utama seperti Brendan Gan dan Nasir Basharudin.

Malah, Mehmet menganggap musim 2020 akan menjadi sukar dan berharap dapat melakukan kejutan pada musim ini.

“Kami hilang pemain utama tapi dengan kombinasi pemain muda dan berpengalaman pada musim ini, kami akan cuba capai tiga tangga teratas liga,” katanya kepada The Star.

Musim lepas, Perak menamatkan musim ditempat kelima liga, naib juara Piala FA dan suku akhir Piala Malaysia.

Musim ini, Perak berjaya membawa masuk beberapa pemain baharu iaitu Guilherme De Paula, Anthony Golec dan Thierry Chantha Bin.

Minggu lepas, Perak memenangi Unity Shield 3-1 ke atas Kedah.

Perak akan memulakan musim 2020 apabila berkunjung ke Stadium Sultan Mizan untuk perlawanan menentang Terengganu, Sabtu ini.