Selepas gagal layak ke Liga Super musim lepas kerana isu tunggakan gaji Reinaldo Lobo sehingga dipotong enam mata pada perlawanan akhir liga, Pulau Pinang mahu menebus kegagalan tersebut dengan menyasarkan sekali lagi kelayakan ke Liga Super 2021.
Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Dr Amar Pritpal Abdullah, yakin sasaran itu mampu dicapai dengan gandingan pemain muda dan berpengalaman di bawah bimbingan ketua jurulatih Manzoor Azwira Abd Wahid.
”Pasukan yang lebih mantap berbanding tahun lalu berupaya mencapai prestasi yang lebih cemerlang pada musim ini,” katanya kepada Bernama.
Skuad Harimau Kumbang akan membuka tirai liga dengan menentang Sarawak United FC di Stadium Bandaraya, di sini, 1 Mac ini.
Pasukan Pulau Pinang mendapat peruntukan RM8 juta dalam menguruskan perbelanjaan dan kewangan pasukan dan telah menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain pada musim ini.
Pulau Pinang akan menggunakan tiga warna jersi rasmi bagi menghadapi saingan Liga Premier musim ini iaitu biru sebagai jersi di gelanggang sendiri, kuning di gelanggang lawan dan merah sebagai jersi alternatif.
Dalam saingan Liga Premier musim lalu, Pulau Pinang terpaksa melupakan impian untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim ini selepas mereka dikenakan pemotongan enam mata oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Ia susulan isu tunggakan gaji membabitkan bekas pemain importnya, Reinaldo Lobo, yang beraksi bersama skuad Pulau Mutiara itu selama tiga musim iaitu dari 2015 hingga 2017.
Pemotongan enam mata itu menjadikan jumlah mata muktamad yang dikumpul Pulau Pinang adalah 24 mata dan jatuh ke tangga ketujuh.