Liga Super Malaysia Berita

[VIDEO] Selepas empat tahun di JDT, Darren Lok sertai Terengganu

Selepas empat tahun di JDT, pemain kacukan England-Malaysia Darren Lok akhirnya membuat keputusan untuk meneruskan kariernya di Terengganu.

Pemain berusia 29 tahun itu dilihat bakal memberi lebih banyak pilihan di bahagian serangan dibawah kendalian jurulatih pasukan Nafuzi Zain.

“Setelah seminggu Darren Lok menjalani latihan bersama TFC, beliau berpuas hati dengan prestasi Darren dan memutuskan untuk mendapatkan khidmatnya bagi mengharungi Liga Super 2020,” menurut laman sesawang rasmi Terengganu FC.

Dalam pada itu, Darren berasa teruja dapat menyertai Terengganu sebagai satu langkah yang positif dalam kariernya dalam menghadapi cabaran baharu bersama pasukan baharu.

“Saya melihat TFC adalah sebuah pasukan yang profesional dan merasakan ini adalah langkah dan masa yang sesuai untuk cabaran baharu bersama pasukan baharu.

“Saya ingin membalas kepercayaan yang diberikan oleh TFC dan inilah peluang baginya untuk meningkatkan prestasinya dan paling utama untuk membantu pasukan mengejar kejuaraan.

Darren turut mengucapkan terima kasih kepada Johor Darul Takzim yang memberikannya peluang untuk mengubah karier bolasepaknya daripada seorang pemain di liga bawahan di England, menjadi seorang pemain yang beraksi dengan juara Liga Super Malaysia.

“Saya berterima kasih buat Johor Darul Takzim kerana telah memberikannya peluang untuk beraksi bersama pasukan Johor untuk beberapa tahun dan mendapatkan pengalaman yang sangat menakjubkan di sana.”

Darren memulakan kariernya di Eastbourne Borough di England pada 2012 dan kekal dengan kelab itu sehingga 2016.

Beliau menyertai JDT pada penghujung musim 2016 dan beraksi dengan JDTII.

Tidak sampai setahun, Darren disenaraikan dalam skuad utama JDT dan membantu JDT memenangi Liga Super pada 2017 dan 2018.

Beliau juga merupakan sebahagian daripada pasukan yang membantu JDT memenangi Piala Malaysia 2017 apabila menewaskan Kedah 2-0 dalam perlawanan akhir.

Prestasinya membolehkan beliau beraksi dengan skuad kebangsaan dan menjaringkan satu gol ketika Malaysia tewas 2-1 kepada Syria dalam perlawanan persahabatan.

Beliau kemudian kembali ke JDTII pada 2019 dan membantu pasukan feeder JDT memenangi Piala Cabaran apabila menewaskan UKM FC 2-0 dalam perlawanan akhir.