Berita AFC Champions League

ACL2020: Aidil Sharin kecewa dengan kesilapan Renan Alves

Jurulatih Kedah meluahkan rasa kecewa terhadap kesilapan Renan Alves yang menampan bola dengan sengaja dalam kotak penalti sehingga dibuang padang menyebabkan sukar untuk Kedah mempamerkan aksi terbaik apabila tewas 4-1 kepada FC Seoul dalam play-off AFC Champions League.

Katanya, Kedah bermain dengan baik pada 30 minit pertama namun tindakan Renan mengubah segala-galanya.

“Ini bukan kesilapan kecil tapi satu kesilapan besar yang mengecewakan,” katanya kepada Arena Metro.

“Akibatnya kita terpaksa beraksi 10 pemain dan ia menjejaskan percaturan sepatutnya kita lakukan.”

“Pastinya kejadian ini mengecewakan seluruh penyokong Kedah yang mengharapkan keputusan positif pada saingan ACL yang menjadi tumpuan di awal musim ini.”

Aidil bagaimanapun enggan terus menyalahkan pemainnya sebaliknya menerima keputusan tersebut sebagai satu pengalaman yang berguna.

“Kami budak baharu dalam ACL dan kami belajar daripadanya,” katanya kepada The Star.

“Yang paling penting ialah pasukan saya bekerja keras, memberikan 100% sebab mereka kalah kepada pasukan yang lebih baik, jadi tahniah kepada FC Seoul.

“Saya dan para pemain perlu memperbaiki diri dan belajar daripada perlawanan seperti ini. Ia tidak mudah bagi kami untuk bermain dengan 10 orang selepas 30 minit dan sebelum penalti, mereka berjaya menandingi FC Seoul.

“Malangnya, ini bola sepak dan kami kehilangan seorang pemain pada masa yang sangat penting. Saya yakin pemain akan beraksi lebih baik selepas menghadapi perlawanan ACL.”